Ikuti Al-Quran

Saturday, November 21, 2009

Jemaah haji dijangka pos pulang 300 tan barangan

Jemaah haji dijangka pos pulang 300 tan barangan

MAKKAH: Jemaah haji negara dijangka mengepos pulang barangan seberat antara 250 dan 300 tan ke tanah air, sebahagian besarnya barangan cenderahati dan kurma.

Mereka juga dijangka menghantar pulang 260,000 liter air zam-zam, termasuk lima liter yang dibekalkan Tabung Haji kepada setiap jemaah.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services, Mejar (B) Mohd Ramli Othman, berkata pihaknya menguruskan perkhidmatan pengiriman barang untuk jemaah menerusi tiga syarikat Malaysia iaitu Pos Malaysia, Nationwide dan Ramal Group.


"Setakat ini, lebih 87 tan bagasi serta hampir 50,000 liter air zam-zam sudahpun dikirim pulang oleh jemaah haji," katanya kepada petugas media di sini hari ini.

Ditanya sebab perkhidmatan bagasi dikendalikan oleh tiga syarikat, beliau berkata ia satu perniagaan yang besar.

"Jadi elok sekiranya ia tidak dimonopoli oleh satu pihak dan diberikan kepada lebih daripada satu syarikat bagi mewujudkan persaingan yang sihat," katanya.

Mohd Ramli berkata, kos penghantaran bagasi oleh ketiga-tiga syarikat itu ditetapkan TH Travel iaitu 15 Saudi Riyal (SR) sekilogram bagi bagasi dan SR120 bagi setiap 10 liter air zam-zam untuk penghantaran ke Semenanjung.

Bagi penghantaran ke Sabah dan Sarawak pula, katanya, caj yang ditetapkan ialah SR20 sekilogram bagi bagasi dan SR125 bagi setiap 10 liter air zam-zam. - Bernama

No comments:

Post a Comment