Ikuti Al-Quran

Tuesday, October 25, 2011

7C Sebab Suami Benci Isteri



‎7C Sebab Suami Benci Isteri: 





C1. CABAR
Lelaki mempunyai ego mereka tersendiri. Jadi mereka tidak suka dicabar terutama sekali oleh wanita. Wanita perlu tahu batas tindakan mereka agar lelaki tidak rasa tercabar. Isteri kalau bergaduh dengan suami mulalah kata "Kalau awak berani cubalah cari perempuan lain! Dr Fadillah kata JGN CABAR SUAMI... nanti suami buat betul-betul isteri juga yg putih mata...


C2. CABUL
Cabul ni bermaksud keji dari segi perangai sehingga seseorang wanita itu langsung tidak malu. Misalnya bergaul bebas dgn lelaki yang bukan muhrim tanpa menghirau batas pergaulan. Juga perbuatan & kata2 isteri yang tak sopan (isteri hilang sifat malu)seperti keluarkan kata2 yg tidak baik pada mertua...


C3. CELUPAR
Wanita yg cantik akan kelihatan hodoh jika mulutnya celupar. Celupar lebih kurang cabul juga. Isteri selalu cakap yang tidak manis, selalu terlepas cakap pada suami sehingga membuat suami jauh hati.


C4. COMOT
Terdapat wanita yg cantik tetapi comot. Comot ini samada melibatkan wajah wanita itu, penampilannya yg selekeh, kerja yg dilakukan serta tindak-tanduknya. Contohnya, isteri bila nak keluar rumah baru nak bersolek dan comel tapi kat rumah comot. Suami pula di tempat kerja asyik pulak nampak yg comel2 aje... Ada isteri kata - mekap untuk suami, tapi kat rumah tak praktik pun.


C5. CEMBURU
Cemburu perlu dalam sesuatu hubungan. Tetapi wanita yg terlampau cemburu hingga pasangannya merasa terkongkong akan membawa padah kepada perhubungan mereka. Ini membuatkan lelaki akan rasa diri mereka tidak dipercayai. Suami lemas kalau isteri cemburu berlebih-lebihan... sikit2 dok telefon suami kat tempat kerja. Suami baru balik kerja dah kita tanya macam-macam. Suami balik lewat overtime dah syak yg bukan2...


C6. CEREWET
Kata ulama hati wanita terletak pada mulutnya. Oleh itu wanita perlu mengawal percakapannya. Suami tak suka bila isteri cerewet tak bertempat. Contohnya kalau suami bawa makan luar, isteri nak tempat yang class2 aje. Restoran nak ada air-cond aje.


C7. CINCAI
Buat kerja rumah cincai, masak cincai, kemas rumah cincai, jaga anak cincai. Dr Fadillah kata suami paling benci bila isteri cincai jaga anak... anak dah masuk longkang tapi mak dok lepak depan tv lagi....


7C ini lambang keperibadian muslimah yang lemah akhlaknya. Berpelajaran tinggi belum tentu tinggi akhlaknya. Tapi kita insan yg mudah lupa & lalai... ada masa2 tertentu, mungkin juga kerana sifat suami & keadaan sekeliling yang buat kita mempunyai salah satu ciri2 8C tu. Renungkanlah.....

Monday, October 24, 2011

Remaja dan isu akidah

Utusan Malaysia Online - Bicara Agama:

Remaja dan isu akidah


Pemahaman tentang konsep mentauhidkan Allah menjadikan remaja Muslim kalis dipengaruhi dakyah golongan kuffar. - Gambar hiasan


ISU akidah adalah perkara pokok bagi remaja Islam. Di tengah-tengah simpang siur aliran pemikiran yang pelbagai, landasan akidah adalah amat penting bagi remaja. Akidah diambil daripada akar kata aqa'id iaitu tautan atau ikatan diri terhadap Allah.

Akidah tauhid memberi landasan ikatan kepada Allah yang satu. Terdapat banyak aliran ideologi yang berkembang dalam hidup manusia sejak dahulu sehingga kini. Terdapat juga pemikiran falsafah dan silang budaya yang terkait dengan isu akidah.

Fahaman liberal dan pluralis umpamanya mempunyai kesan langsung kepada isu akidah.

Usaha-usaha agama lain terutama Kristian melakukan pemurtadan adalah sesuatu yang bercanggah dengan akidah tauhid.

Akidah bukan sekadar pernyataan mengesakan Allah dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Sebaliknya, yang amat penting adalah pemahaman dan aplikasi terhadap Allah yang satu dalam keyakinan, kata-kata, amalan dan juga manifestasi ilmu.

Para remaja tidak sahaja menjadi penganut Islam berasaskan warisan keturunan tetapi hendaklah memahami ilmu tentang akidah tauhid, mengukuhkan ibadah, memahami jalur syariah dan fikah di samping memiliki akhlak yang mulia.

Asas ini sangat penting bagi remaja kerana keyakinan tanpa pemahaman boleh membawa jiwa remaja kepada kekosongan. Keyakinan tanpa didukung oleh ilmu tidak akan memberi kekuatan, memahami hakikat kewujudan dan kaitan dengan penciptaan.

Memahami Islam bukan sekadar memahami hal-hal yang nyata dan tampak, tetapi ia terhubung dengan faktor-faktor ghaibiyat. Di sini pentingnya para remaja memahami al-Quran sebagai sumber petunjuk kepada yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib.

Sekiranya para remaja diberi fahaman Islam dan tauhid secara ilmu, ia bakal memantapkan lagi keyakinan remaja terhadap perkara tauhid.

Berlakunya kelonggaran dan ketidakfahaman remaja terhadap isu akidah ini adalah akibat daripada kekosongan ilmu dan kelompangan keyakinan yang menyebabkan anutan terhadap agama menjadi tidak teguh dan kukuh.

Keteguhan dan kekukuhan akidah bersumberkan pemahaman yang jelas terhadap pencipta dan juga pemahaman yang nyata terhadap kaitan wahyu Allah dengan penciptaan-Nya sebagai contoh.

Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas tentang faktor ghaibiyat yang terhubung dengan faktor yang nyata supaya keyakinan kita terhadap wujudnya Allah dan kaitannya dengan alam ini menjadi teguh.

Dalam surah Al-Alaq, Allah menyebutkan khalaqal insanamin alaq... membawa makna bahawa kejadian manusia itu bermula daripada seketul darah beku.

Dalam surah Al-Mukminun pula, Allah menyatakan bahawa punca kejadian manusia adalah daripada sari pati tanah. Apakah kaitannya sari pati tanah dengan pokok-pokok dan buah-buahan yang menyumbang terhadap kejadian air mani?

Ia adalah sesuatu yang saintifik. Apabila kromosom X dan kromosom Y bertemu, ia menghasilkan zigot. Ia disebut dalam bahasa al-Quran sebagai nutfah.

Apabila proses pembenihan itu subur menghasilkan susuk dan bentuk, Allah tiupkan roh ke dalam embrio tersebut. Ia menghasilkan manusia dalam rahim yang mempunyai kekuatan. Roh walaupun tidak nampak, tetapi bagi yang hidup merasakan ia ada.

Al-Quran menyebutkan roh itu adalah milik Allah dan yang diketahui oleh manusia hanyalah sedikit sekali. Adanya roh (yang ghaib) menyebabkan akal berfikir, hati merasa dan daya melakukan amal. Tanpa roh, seluruh jasad dan potensi yang ada pada manusia akan kaku dan tidak boleh berbuat apa-apa.

Asas berfikir seperti ini boleh menanamkan landasan akidah yang teguh di kalangan remaja. Mengkaji benda dan fenomena tidak terputus dengan hakikat Penciptaan. Daripadanya lahir hikmah yang tinggi memahami yang nyata dengan ghaib.

Pertimbangan saintifik tidak hanya dalam batas akal, uji kaji dan hasil tetapi merentasi terhadap hikmah di sebalik kejadian dan manfaatnya kepada manusia.

Kelemahan akidah remaja, kelonggaran pemahaman ilmu, kealpaan melakukan reflektif terhadap kekuatan tamadun silam menyebabkan para remaja mudah terpengaruh dengan fahaman popular Barat yang menyesatkan.

Apabila kekaguman terhadap Barat sifatnya melampaui, pemahaman secara ritual dan berkala terhadap Islam tidak boleh menyebabkan para remaja memiliki kekentalan akidah tauhid.

Keadaan seperti ini mendedahkan remaja kepada kerosakan akhlak, kemuflisan ilmu Islami dan akhirnya mudah terjebak kepada fahaman hedonisme (berpoya-poya), melupakan agama, terjebak dengan ajaran sesat dan juga boleh menjadi murtad.

Ilmu dan amal

Oleh itu, amat penting para remaja Islam memahami agamanya secara ilmu dan amal. Kadangkala para remaja memiliki kekuatan rohani yang tinggi, tetapi lemah dalam amal Islamnya. Islam sebagai sistem kepercayaan perlu diperlihatkan dengan kekuatan amal.

Keindahan Islam sejak dahulu zaman tamadunnya hingga kini terlihat daripada pekerti dan amal manusia. Ini yang menyebabkan orang lain tertarik dengan Islam bukan sahaja kerana kebenaran yang terdapat dalam al-Quran dan agama ini, tetapi keindahan peribadi pemeluknya memiliki daya tarik yang tinggi.

Cabaran yang mendatangi zaman ini memerlukan remaja untuk sentiasa mencari jalan mempertingkatkan ilmu dan pemantapan iman di samping keupayaan diri untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

Pelbagai pergolakan serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat ada kalanya menguji tahap ketahanan diri. Tanpa asas serta pemahaman yang betul terhadap akidah tauhid, remaja boleh terjebak dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat agama.

Justeru, para remaja harus bertitik tolak dengan pemahaman akidah yang mantap atas dokongan ilmu yang benar dan akhirnya bakal mampu menjadi agen perubahan terhadap kebaikan dan kesejahteraan umat manusia.

Menjadi pengagum kepada kemajuan Barat adalah tidak salah sekiranya remaja sendiri berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk umat Islam dan manusia.

Di Barat sendiri, krisis agama menjadi suatu yang meruncing. Fahaman liberal, pluralis serta fahaman tidak beragama juga menjadi pegangan hidup masyarakat Barat.

Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding.

Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan perubahan yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islam.

Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.

Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.

Remaja sewajarnya reflektif terhadap puncak kepemimpinan Islam tatkala Tamadun Andalusia berkembang di Sepanyol, di mana orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam yang berasaskan kepada akidah tauhid.

Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun. Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri.

Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.

Justeru, para remaja dalam berfikir tidak harus berfikir secara ringan dan mudah terhadap Islam. Sebaliknya, pemikiran Islam harus ditunjangi dengan kefahaman ilmu Islami dan tamadunnya.


'via Blog this'

Komuniti Blogger JBwww.johor.blogspot.com

Lebih 6 juta belia hadapi krisis identiti

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Lebih 6 juta belia hadapi krisis identiti




PUTRAJAYA 23 Okt. - Lebih enam juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat.

Dapatan tersebut diperoleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hasil tinjauan melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari tahun ini.

Sehingga kini terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia iaitu 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini.

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman (gambar) berkata, masalah tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal.

Justeru beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu demi memastikan golongan belia terus berada pada landasan yang betul untuk menjamin masa depan negara.

"Jika tidak dibendung di peringkat awal, tidak mustahil perkara yang tidak diingini akan berlaku.

"Pelbagai program kesedaran melibatkan para belia perlu diperbanyakkan demi memastikan keterlibatan golongan ini bersama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 di sini hari ini.

Konvensyen tersebut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa permasalahan keluarga dan rahsia kejayaan sebuah keluarga. Ia dimuatkan dengan dua sesi pembentangan kertas kerja selain forum bersama peserta.

Penceramah yang terlibat ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Badrulhisham Abdul Aziz; Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; pengasas dan rakan kongsi utama HIJRAH Wealth Management Sdn. Bhd., Mahadzir Md. Isa dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Menurut Abdullah Zaik, isu kecelaruan identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej atau personaliti.

"Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan hilang pedoman atau hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan," katanya.

Tuesday, October 11, 2011

Laman Blog Abu Widad

Laman Blog Abu Widad


Haram Guna Bekas Emas Dan Perak

Posted: 11 Oct 2011 08:29 AM PDT

Persoalan ini disentuh oleh ulama ulama fekah dalam bab awal kitab fekah  iaitu Toharah. Apabila kita hendak berwudhuk, islam juga menekankan apakah jenis bekas yang akan digunakan untuk mengambil wudhuk.

Jika bekas yang digunakan itu diperbuat dari emas atau perak maka ianya diharamkan kerana bekas emas dan perak ialah untuk orang kafir sahaja di dunia ini dan kita hanya berhak menggunakannya di akhirat kelak yakni di dalam syurga. Pengharaman menggunakan bekas yang diperbuat dari emas dan perak ini meluas kepada lain lain kegunaan seperti bekas makanan dan minuman. emas hanya dibenarkan penggunaannya ke atas orang perempuan sahaja sebagai perhiasan.

Dari sini timbul beberapa isu berkaitan antaranya ialah :

1)  Adakah orang lelaki boleh memakai cincin perak ?

Jawapannya memang dibolehkan kerana Nabi S.A.W mamakai cincin perak semasa hayatnya sehinggalah Baginda wafat.

2) Bagaimana jika cincin yang dipakai ialah emas putih atau suasa?

Jawapan : Suasa tidak boleh dipakai oleh orang lelaki kerana bahan utamanya ialah emas yakni melebihi perak dalam buatannya. Cincin emas putih juga diharamkan ke atas orang lelaki kerana walaupun warnanya putih unsurnya tetap sama dengan emas kuning.

3) Adakah boleh orang lelaki memakai gelang perak tanpa apa apa tujuan  atau lain lain jenis  dengan tujuan perubatan?

Sebenarnya gelang diharamkan penggunaanya ke atas orang lelaki bukan kerana unsur emas atau perak, tetapi kerana ianya menyerupai perempuan. Jika gelang yang dipakai oleh seseorang lelaki itu diperbuat dari emas maka haramnya berganda. Pertama kerana emas dan kedua kerana menyerupai perempuan. Sedangkan gelang yang dipakai untuk tujuan perubatan, kebolehannya amatlah tipis untuk diterima kerana di sana terdapat banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk berubat. Lainlah jika ada bukti santifik mengatakan bahawa tidak ada lagi ubat yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit melainkan dengan menggunakan gelang tertentu sahaja. Maka di situ kebolehan itu boleh digunakan. Namun pada pengamatan saya kebanyakan orang yang memakai gelang  terutamanya yang diperbuat dari rantaian biji yang agak besar, menampak seolah olah ada sifat sombong dan bongkak dalam diri mereka.

4) Bagaimana jika emas dan perak digunakan untuk menampung sesuatu seperti bekas dan seumpamanya?

Jawapan : Emas tidak boleh digunakan secara mutlak untuk menampal apa sahaja samaada untuk tujuan perhiasan atau keperluan. Sedangkan perak dibolehkan untuk menampal sesuatu benda dengan syarat kerana keperluan dan dalam kuantiti yang kecil. Jika dengan kuantiti yang besar tetapi masih kerana keperluan maka hukumnya makruh. Jika ianya kerana hiasan dalam kuantiti yang besar, hukumnya tidak boleh.

Bagaimana pula jika perak digunakan untuk membuat piala atau pingat tertentu?

Jawapannya : (akan menyusul kemudian)

Share

Monday, October 3, 2011

islam » Laman Blog Abu Widad

islam » Laman Blog Abu Widad:

Anak Satu Amanah

Di sini saya ingin berkongsi tentang anak. Dalam minggu ni saya sempat membelek buku “Tarbiatul Awlad” karangan Abdullah Naasih Ulwan. Buku tersebut saya beli semasa menuntut di Mesir dahulu.

Bersesuaian dengan anak saya yang bakal di lahirkan sekitar hujung bulan ini, begitu juga mungkin dengan saudara saudari yang bakal menimang cahaya mata, sukalah saya berkongsi di sini beberapa perkara yang dituntut untuk dilakukan setelah anak dilahirkan.

1. Menyebarkan berita kelahiran kepada saudara mara, rakan taulan, jiran tetangga. Mereka pula dituntut mengucapkan tahniah atas kelahiran anak tersebut kepada bapanya

2. Sebaik sahaja anak di lahirkan, hendaklah diazankan anak tersebut di telinganya sebelah kanan dan diiqamatkan di sebelah telinga kiri. Demikian untuk menjauhkan anak tersebut dari gangguan syaitan dan juga untuk mencampakkan kecintaan kepada islam sebaik sahaja menjengah dunia ini.

3. Dituntut agar mentahnikkan anak tersebut dengan menyapu kunyahan kurma atau seumpamanya yang manis pada lelangit bayi keseluruhannya. Demikian agar mulut anak ada kekuatan menghisap susu ibunya. Seeloknya tahnik dilakukan oleh orang yang soleh.

4. Diberikan nama yang baik-baik. Boleh diberikan samaada hari pertama dilahirkan hinggalah hari ketujuh. Nama merupakan satu doa untuk anak oleh itu jika hendak memberi nama carilah perkataan yang sesuai dan tepat dalam sebutan bahasa arabnya. Jika hendak memilih bahasa yang lain pun boleh asalkan mempunyai makna yang baik.

5. Disunatkan mencukur rambut bayi pada hari ketujuh lalu ditimbangkan beratnya dan bersedekah kepada fakir miskin dengan nilai perak yang sama berat dengan rambut tersebut. Tidak boleh mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain seperti mencukur di sekeliling kepala dan meninggalkan ditengahnya atau mencukur ditengah kepala dan membiarkan dibahagian tepinya atau mencukur di bahgian hadapan dan membiarkan rambut dibahagian belakang atau mencukur dibahagian belakang dan membiarkan di bahagian hadapan.

6. Melaksanakan aqiqah pada hari ketujuh. Untuk bayi perempuan dengan menyembelih seekor kambing sementera bagi bayi lelaki disembelih dua ekor kambing. Boleh juga dengan menyembelih lembu atau seumpamanya tetapi seekor lembu hanya untuk seorang bayi tidak boleh berkongsi tujuh orang sebagai contoh. Untuk mengelakkan masalah biarlah dengan menyembelih kambing seperti biasa diamalkan dalam masyarakat kita. Semasa menyembelih bolehlah membaca بسم الله اللهم لك وإليك هذه عقيقة فلان . Tulang haiwan itu pula janganlah dipatahkan demi memelihara tulang bayi dari patah di kemudian hari. Sebaiknya daging sembelihan digulaikan dan dibuat kenduri. Demikian bagi mengeratkan silaturrahim sesama islam. Boleh juga untuk mensedekahkannya atau sebagai hadiah.

Itulah serba sedikit tentang langkah pertama seorang bapa selepas kelahiran bayinya. Ada lagi tugas dan tanggungjawab lain yang perlu dilakukan. Insyaallah saya akan kongsi dalam artikel lain. Buat bakal bapa atau yang sudah menjadi bapa tetapi akan dikurniakan anak lagi, saya berharap panduan ringkas ini dapat membantu sedikit sebanyak.


'via Blog this'