Ikuti Al-Quran

Monday, October 3, 2011

islam » Laman Blog Abu Widad

islam » Laman Blog Abu Widad:

Anak Satu Amanah

Di sini saya ingin berkongsi tentang anak. Dalam minggu ni saya sempat membelek buku “Tarbiatul Awlad” karangan Abdullah Naasih Ulwan. Buku tersebut saya beli semasa menuntut di Mesir dahulu.

Bersesuaian dengan anak saya yang bakal di lahirkan sekitar hujung bulan ini, begitu juga mungkin dengan saudara saudari yang bakal menimang cahaya mata, sukalah saya berkongsi di sini beberapa perkara yang dituntut untuk dilakukan setelah anak dilahirkan.

1. Menyebarkan berita kelahiran kepada saudara mara, rakan taulan, jiran tetangga. Mereka pula dituntut mengucapkan tahniah atas kelahiran anak tersebut kepada bapanya

2. Sebaik sahaja anak di lahirkan, hendaklah diazankan anak tersebut di telinganya sebelah kanan dan diiqamatkan di sebelah telinga kiri. Demikian untuk menjauhkan anak tersebut dari gangguan syaitan dan juga untuk mencampakkan kecintaan kepada islam sebaik sahaja menjengah dunia ini.

3. Dituntut agar mentahnikkan anak tersebut dengan menyapu kunyahan kurma atau seumpamanya yang manis pada lelangit bayi keseluruhannya. Demikian agar mulut anak ada kekuatan menghisap susu ibunya. Seeloknya tahnik dilakukan oleh orang yang soleh.

4. Diberikan nama yang baik-baik. Boleh diberikan samaada hari pertama dilahirkan hinggalah hari ketujuh. Nama merupakan satu doa untuk anak oleh itu jika hendak memberi nama carilah perkataan yang sesuai dan tepat dalam sebutan bahasa arabnya. Jika hendak memilih bahasa yang lain pun boleh asalkan mempunyai makna yang baik.

5. Disunatkan mencukur rambut bayi pada hari ketujuh lalu ditimbangkan beratnya dan bersedekah kepada fakir miskin dengan nilai perak yang sama berat dengan rambut tersebut. Tidak boleh mencukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain seperti mencukur di sekeliling kepala dan meninggalkan ditengahnya atau mencukur ditengah kepala dan membiarkan dibahagian tepinya atau mencukur di bahgian hadapan dan membiarkan rambut dibahagian belakang atau mencukur dibahagian belakang dan membiarkan di bahagian hadapan.

6. Melaksanakan aqiqah pada hari ketujuh. Untuk bayi perempuan dengan menyembelih seekor kambing sementera bagi bayi lelaki disembelih dua ekor kambing. Boleh juga dengan menyembelih lembu atau seumpamanya tetapi seekor lembu hanya untuk seorang bayi tidak boleh berkongsi tujuh orang sebagai contoh. Untuk mengelakkan masalah biarlah dengan menyembelih kambing seperti biasa diamalkan dalam masyarakat kita. Semasa menyembelih bolehlah membaca بسم الله اللهم لك وإليك هذه عقيقة فلان . Tulang haiwan itu pula janganlah dipatahkan demi memelihara tulang bayi dari patah di kemudian hari. Sebaiknya daging sembelihan digulaikan dan dibuat kenduri. Demikian bagi mengeratkan silaturrahim sesama islam. Boleh juga untuk mensedekahkannya atau sebagai hadiah.

Itulah serba sedikit tentang langkah pertama seorang bapa selepas kelahiran bayinya. Ada lagi tugas dan tanggungjawab lain yang perlu dilakukan. Insyaallah saya akan kongsi dalam artikel lain. Buat bakal bapa atau yang sudah menjadi bapa tetapi akan dikurniakan anak lagi, saya berharap panduan ringkas ini dapat membantu sedikit sebanyak.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment